dxJgvbFfC3_bKcGa8lKJNazuq-c Budak 7 Tahun Dilaporkan Hilang Sudah Ditemui. | Seronok Punya!

Followers

Budak 7 Tahun Dilaporkan Hilang Sudah Ditemui.

,

PETALING JAYA – Seorang budak lelaki berusia tujuh tahun yang dilaporkan hilang petang kelmarin selepas keluar bersendirian dari rumahnya di Jalan PJS 10/1, Subang Indah, di sini, ditemui semula, awal pagi semalam.


Wan Hazim Mohd Khadir ditemui kira-kira jam 2 pagi oleh seorang lelaki di Lebuhraya KESAS menghala ke Klang ketika kanak-kanak itu sedang berjalan merayau di bawah jejambat berhampiran Summit USJ di Subang Jaya.



Lelaki itu menghantar budak lelaki itu ke Balai Polis Subang Jaya dan budak berkenaan kemudian dihantar rumah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Cheras.

Ibunya, Wan Nor Azma Wan Yusof, 33, berkata beliau menerima panggilan daripada pihak polis pada jam 7 malam semalam menyuruhnya datang ke balai berkenaan untuk membuat pengecaman gambar.

“Sebaik saja tiba di balai itu pada jam 10 malam, saya membuat pengecaman gambar budak lelaki yang dihantar ke JKM Cheras itu. Saya mengesahkan gambar itu adalah Wan Hazim. Saya rasa lega sebab anak saya selamat dan saya akan mengambilnya Isnin ini pada waktu pejabat sebab malam ini dan esok tidak dibenarkan kerana di luar waktu pejabat, ” katanya ketika ditemui di balai berkenaan malam tadi.

Wan Nor Azma berkata, risalah yang diedarkan beliau di kawasan perumahan termasuk balai berkenaan sebelum itu berjaya mengesan anaknya apabila pihak polis menyedari gambar risalah itu menyamai gambar yang berada dalam simpanan mereka.

Sebelum itu, Wan Hazim dikatakan menonton televisyen di ruang tamu kira-kira jam 12.30 tengah hari sebelum ibunya, Wan Nor Azma Wan Yusof, 33, pulang menghantar abang mangsa dari sekolah dan keluar semula sambil memaklumkan kepada pembantu rumah bahawa mangsa sendirian di tingkat bawah rumah dua tingkat itu.

Pembantu rumah yang tidak mendengar laungan majikannya hanya turun ke tingkat bawah kira-kira 30 minit kemudian sebelum menyedari Wan Hazim tiada, namun beranggapan anak kedua daripada tiga beradik itu keluar bersama ibunya.

Kehilangan Wan Hazim hanya disedari jam 6 petang sebaik ibu mangsa pulang bersama anak bongsunya dan memaklumkan beliau meninggalkan anak keduanya bersendirian di ruang tamu ketika keluar.

Wan Nor Azma seorang peniaga berkata, sebaik menyedari anaknya hilang, beliau sekeluarga dengan bantuan jiran mencarinya di sekitar perumahan berkenaan, namun usaha yang dilakukan sehingga petang semalam menemui jalan buntu.

Katanya, pelbagai usaha sudah dilakukan termasuk menyebarkan poster anaknya dan berjumpa dengan ustaz, namun belum menerima sebarang berita atau panggilan daripada orang awam.

Sementara itu, di PASIR GUDANG, empat individu ditahan bagi membantu siasatan kes kehilangan Nur Nadirah Abdullah atau Dirang, 5, sejak kanak-kanak itu dilaporkan hilang dipercayai diculik dekat Flet Seri Delima, Bandar Seri Alam, di sini pada 1 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin, berkata tiga individu iaitu sepasang suami isteri dan seorang lelaki manakala seorang lagi, bapa kandung kanak-kanak itu.

“Tiga individu termasuk sepasang suami isteri ini ditahan pada hari kanak-kanak ini dilaporkan hilang manakala bapanya ditahan kira-kira jam 7 malam Khamis lalu,” katanya ketika dihubungi, semalam. -BHarianOnline dan mynewshub

0 Komen to “Budak 7 Tahun Dilaporkan Hilang Sudah Ditemui.”

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lain-lain cerita.

 

Seronok Punya! Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger